KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH





Selain dari tahap pengetahuan dan pengertian, ada tiga tahap pembelajaran dalam kategori pembelajaran Bloom, iaitu tahap  penggunaan, tahap analisis dan tahap sintesis, yang melibatkan penyelesaian masalah. Semua tahap pembelajaran, iaitu enam semuanya, memerlukan pemikiran, tetapi darjah keperluan kepada kemahiraan berfikir meningkat dari tahap permulaan hingga yang terakhir iaitu tahap penilaian.



Walaupun pelajar sepatutnya sudah berjaya menyelesaikan ratusan masalah, kalau tidak ribuan, namun kebanyakaan pengalaman yang ditimba hanya terhad kepada penghafalan cara menyelesaikan masalah tertentu sahaja. Oleh itu kebisaannya pelajar hanya boleh menyelesaikan masalah yng telah ditunjukkan oleh guru atau orang lain, tetapi mereka buntu atau terpaku jika berhadapan dengan  masalah yang tidak serupa yang telah ditemui, walau pun perbezaannya hanya sedikit sekali. Pendek kata pelajar hanya kenal masalah yang mereka pernah jumpa, tetapi tidak tahu menangani jika masalah baru itu bapa atau ibu atau adik atau abang atau sepupu kepada apa yang mereka tahu.
 
Semasa zaman persekolahan saya, saya telah membina sendiri kemahiran menyelesaikan masalah melalui kaedah cuba dan gagal, belajar daripada jawapan contoh (worked-out examples) dan pengalaman daripada kegagalan sebelum berjaya menyelesaikan masalah. Lambat laun saya dapati saya boleh menyelesaikan masalah yang hampir serupa dengan yang saya telah selesaikan. Matematik, walau pun bahannya susah dan memerlukan usaha lebih, tidak pernah menjadi subjek bermasalah kepada saya. Semasa saya mula mengajar (peringkat ijazah sarjana muda0 saya dapati ada pelajar yang jelas mempunyai kesukaran menyelesaikan masalah. Ini menjadi kehairanan kepada saya kerana semasa saya belajar di Universiti dahulu saya tidak terjumpa dengan rakan pelajar yang ada masalah serupa, walau pun terdapat rakan yang lembab dalam penyelesaian masalah berunsur matematik.
 
Apabila saya disuruh mengajar kemahiran belajar kepada pelajar yang lemah pencapaiaannya, saya mencari rujukan yang sesuai untuk dijadikan bahan kuliah. Saya dapati beberapa buku mengenai cara menyelesaikan masalah. Saya amat tertarik dengan buku Polya, kerana bukan saja cara yang diterangkan itu merangkumi segala apa yang saya lakukan semasa menjadi pelajar dahulu, tetapi ia juga menyentuh beberapa perkara kecil lain yang saya tidak lakukan. Beberapa perkara kecil yang tidak saya ketahui itu tidak mudah disedari tanpa kajian dan pengalaman.  Buku Polya telah mengesahkan kaedah yang saya gunakan selama ini adalah kaedah yang betul dan digunakan oleh jayanya oleh ramai orang lain. Kaedah penyelesaian yang diutarakan  itu amat terang lagi tersusun. Jelaslah saya telah terjumpa dengan  satu buku bak mutiara yang tidak ternilai harganya
 
Prof. Polya, seorang professor matematik, telah menulis bukul tersebut, berjodol  How to solve it  dan diterbitkan oleh Princeton University Press pada tahun 1945  (ISBN 0-691-08097-6). Buku ini telah dijual lebih daripada 1 juta buah dan telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Ada empat prinsip yang dikemukakan oleh Polya: iaitu prinsip pengenalan, prinsip merangka pelan penyelesaian, fasa perlaksanaan pelan, fasa penyepaduan  dan deduksi (consolidation and deduction).
 
Oleh kerana Prof. Polya seorang pakar matematik,  kaedah yang ditulisnya itu mungkin ditanggapi hanya sesuai kepada bidang sains atau bidang yang serupa. Setelah saya selidiki saya dapati cara yang dianjurkan oleh pakar dalam bidang lain seperti dalam bidang perniagaan dan pengilangan mempunyai unsur yang sepunya. Jika Polya mencadangkan empat fasa, ada yang yang menggunakan enam langkah dan ada yang mencadangkan tujuh langkah untuk menyelesaikan masalah.





Belajar dari jawapan contoh

Belajar dari contoh adalah satu cara yang lazim diamalkan dalam alam semulajadi. Namun jangan pula lupa bahawa belajar dari contoh jawapan bukan dengan menghafal jawapan.
 
Saya amat tertarik bagaimana singa atau harimau mengajar anak memburu. Anak haiwan ini meniru ibu mereka memburu. Bersama-sama anak lain, sang anak bermain sambil berlatih atau bergurau tetapi dengan aksi memburu.  Contohnya menyerang hendap sesama sendiri, menerkam anak lain atau menjatuhkannya dengan menyadung kaki. Apabila mereka pandai dengan banyak langkah asas, ibu mereka akan menunjukkan mereka menangkap haiwan kecil seperti anak kijang atau pun  seperti arnab. Setelah mereka pandai barulah ibu mereka membawa mereka memburu haiwan yang lebih besar. Mungkin setelah berburu beberapa kali baharulah mereka berjaya. Setelah berjaya beberapa kali dalam berbanyak-banyak cubaan, baharulah anak ini matang dan boleh berdikari. Kalau anda rajin anda boleh juga memerhatikan kucing di mana tindak tanduknya serupa.
 
Kita boleh ringkaskan apa yang berlaku di alam tabii itu sebagai:
 
Kuasai ilmu asas dahulu, jangan cuba selesai masalah jika fahaman asas belum cukup kuat.
 
Latih diri dengan masalah mudah dahulu
 
Lihat contoh yang baik (ibu singa atau harimau) dan cuba fahamkan langkah untu menyelesaikan masalah sebenar.
 
Cuba selesaikan masalah lain.
 
Kalau gagal jangan putus asa. Cari sebab kesalahan dengan melihat kembali di mana kita tersungkur. Tanya orang lain jika perlu (atau cari dari sumber rujukan) selepas kita tahu apa yang kita faham dan apa yang kita tidak faham.
 
Cuba lagi, mudah-mudahan sehingga berjaya.
 

No comments:

Post a Comment